Lihat saja contoh sifat sombong yang ada pada Iblis yang enggan
sujud kepada Nabi Adam a.s. Tak cukup dengan kesombongannya itu, malah
tidak menurut perintah Allah S.W.T. dan sanggup menghina Nabi Adam a.s.
dengan mengatakan kejadiannya daripada Api itu lebih mulia daripada Nabi
Adam a.s. yang dijadikan daripada tanah yang hina.
Sesiapa yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya
sendiri. Sebaiknya selaku umat Islam kita hendaklah hidup saling
menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong. Apabila mendengar
celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan tersebut
sekalipun seseorang yang dicela itu memang telah melakukan sesuatu dosa
yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu telah bertaubat dan
taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat
demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.
7 Jenis Sombong Yang Dilaknat Allah S.W.T.
1. Sombong kerana kelebihan seseorang dengan pengetahuan ilmunya,
baik ilmu dunia atau ilmu akhirat. Apabila ilmu sudah penuh di dada, dia
menganggap orang lain jahil belaka, semua orang buta dan jika ada
pandangan yang bernas tetapi tidak diterimanya. Orang yang sombong
seumpama ini hendak dirinya selalu dihormati oleh orang lain terutama
ketika di khalayak ramai, oleh anak muridnya dan orang bawahannya serta
sentiasa meminta diberi layanan mulia.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat kesombongan walau hanya sebesar zarah.” (Hadis riwayat Muslim)
2. Sombong kerana kelebihan beribadat seseorang. Penyakit orang
ahli abid yang merasa diri mereka terlalu banyak beribadat berbanding
dengan orang lain sehingga menganggap orang lain tidak mampu beribadat
seperti mereka. Sedangkan mereka sebenarnya terpedaya dengan tipu daya
syaitan. Rasulullah S.A.W. telah mengingatkan melalui sabda Baginda
S.A.W. yang bermaksud :
“Bahawa siapa yang memuji dirinya sendiri atas suatu amal soleh,
bererti sudah tersesat daripada mensyukurinya, dan gugurlah segala amal
perbuatannya.“
3. Sombong kerana ego memperkasakan keturunan, bangga kita
berketurunan mulia lagi bangsawan, suka menyebut nama datuk nenek moyang
kita yang dulunya dikatakan keramat atau hebat. Sifat sombong seperti
ini tidak ubah seperti kaum Bani Israel yang dilaknat Allah S.W.T.,
seperti termaktub dalam al-Quran. Mereka bangga dengan keturunan mereka
yang banyak menjadi nabi ikutan, konon keturunan mulia dikasihi Allah
S.W.T.
4. Sombong kerana berasa diri cantik dan sempurna malah memandang
orang lain dengan hina, seperti merendah-rendahkan ciptaan Allah S.W.T.
hingga sanggup menyindir atau memberi gelaran tidak baik seperti pendek,
berkulit hitam atau gemuk.
5. Sombong yang berpunca daripada kelebihan harta diberi oleh Allah
S.W.T. membuat kita lupa daratan, berbangga dengan kekayaan yang ada,
rumah besar, kereta BMW mewah hingga memandang rendah orang yang kurang
berada.
6. Sombong kerana kekuatan dan kegagahan diri. Semua orang akan
dibuli kerana kuatnya badan kita tidak terperi, hingga boleh memakan
kaca, kunyah besi, boleh menarik bas dan lori hanya dengan gigi, boleh
dihempap badan dengan batu dan besi, atau sebagainya.
7. Sombong dan berbangga kerana ramainya pengikut setia di belakang
diri, sepertinya orang alim berbangga dengan ramainya murid yang
memuji. Guru silat pula berbangga dengan ramainya murid yang tidak lut
ditetak parang dan dijilat api.
Oleh itu, hendaklah kita memeriksa diri kita betul-betul, lihat
sama ada 7 perkara yang membawa kepada penyakit sombong ini ada pada
kita atau tidak. Penawarnya ada di tangan sendiri kerana penyakit
sombong ini hanya akan memakan diri. Tidak sekarang, mungkin di masa
akan datang. Ubatilah sifat sombong itu dan jangan sesekali menghina
orang lain kerana ianya sifat yang dilaknat oleh Allah S.W.T.
Fikirkanlah..
Nabi Muhammad S.A.W. bersabda yang bermaksud :
“Orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada
hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh
manusia, kerana hinanya mereka pada Allah.” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar
dari Abu Hurairah)
No comments:
Post a Comment